Sunday 10 January 2016

Rumah Lelong: Proses Membuka Pagar Setelah Menang Bidaan

Salam Mesra,

Kebiasaan lelongan di Mahkamah Tinggi atau lelongan terbuka awam yang lain akan diputuskan setelah ketukan ketiga. Ini bermakna jika hanya anda seorang yang masuk bidaan sesebuah hartanah lelong maka anda berpeluang dan berhak mendapat harga rizab yang ditawarkan. Ini satu nasib atau tuah. Sebaik diputuskan berhak memiliki hartanah tersebut secara automatik hartanah tersebut di bawah tanggungjawab pemenang bidaan sebagaimana terkandung dalam syarat-syarat jualan lelong. 
Ini bermakna selepas tarikh menang bidaan segala cukai, bil dan lain-lain akan di bawah tanggungan pembeli.  
            Jika rumah lelong yang telah berjaya dibeli itu telah kosong dan tidak berpenghuni bertahun-tahun maka mudahlah tugas kita memecahkan kunci sekiranya masih berkunci. Jangan lupa membawa POS (Proclamation Of  Sale) yang telah dimatisetemkan akan membuktikan kita adalah pemilik sementara sehinggalah bayaran penuh baki ke atas keseluruhan harga hartanah tersebut.
POS yang lengkap boleh dijadikan rujukan sekira ada pertanyaan dari pihak berkenaan lain. 
Pengalaman saya sebaik sahaja menang bidaan saya terus membuka kunci kerana rumah lelong tersebut kerana rumah tersebut telah lama ditinggalkan.  
        Sekiranya rumah tersebut masih menandakan penghuni masih belum bersedia atau masih meninggalkan banyak barangan masih elok, saya berpendapat jangan kita terlalu cepat memecah masuk. Ini kerana sebaik sahaja menang bidaan hartanah itu kita hanya membayar satu persepuluh dari harga sebenar. Maksudnya kita belum berhak sepenuh melainkan kita dengan segera membayar baki 90 % yang masih ada.
Pun begitu, baiklah kita bersabar dengan cuba mencari penghuni yang masih belum bersedia meninggalkan rumah asalnya. Berilah peluang secukupnya. Cuba bertanyakan jiran sebelahnya yang mungkin ada maklumat tentang pemilik sebelumnya agar barang-barang berharga diambil semula pemilik asal. Melainkan pemilik benar-benar sukar dicari. 
              Adakah kita mampu menghalau sebuah keluarga dek kerana rumah lelongan itu telah menjadi hak milik kita. Justeru - sewaktu meninjau untuk membeli rumah lelong cubalah berbual dengan penghuni rumah lelong tersebut. Berbincang bagaimana dan perancangan penghuni sebaik tarikh lelongan bermula. Adakah dia bersedia berpindah atau dia membuat keputusan untuk enggan beredar. Anda boleh pilih sama ada mahu meneruskan niat membeli atau membatalkan kerana tindakan menghalau penghuni asal adalah satu pilihan yang sukar. Mungkin buat saya.Tidak buat anda.
Carilah rumah lelong yang tidak berpenghuni lagi atau penghuni rumah lelong itu hanyalah penyewa kepada hartanah tersebut. Maka akan hanya perlu berbincang agar bayaran sewa kepada anda setelah anda berjaya membida hartanah tersebut. Ini banyak berlaku kerana banyak penyewa tidak mengetahui status rumah sewaan yang telah terlelong. Sedangkan dia masih membayar sewa kepada pemilik asal yang gagal melunaskan pinjaman perumahan di bank.

Bersambung...   

No comments:

Post a Comment